Majlis Penyampaian Sumbangan Program Dakwah Bil Hal Bersama Mangsa Musibah (Ribut & Banjir) Di Daerah Sik Dan Baling, Kedah Darul Aman

Cetak PDF

SIK/BALING – 29 Ogos. Seramai 843 orang mangsa ribut dan banjir lumpur baru-baru ini di sekitar Daerah Sik dan Baling telah menerima sumbangan berupa wang saku tunai di antara RM200.00 hingga RM300.00 setiap orang dan hamper barangan dapur dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM228,000.00. Program ini merupakan anjuran Yayasan Taqwa (MAIWP) dengan kerjasama Penyelaras Parlimen Baling, ADUN Kawasan Belantek, ADUN Kawasan Bayu, JAKIM, Pejabat kedua-dua Daerah Sik dan Baling. Manakala, sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM, Tuan Haji Anan Bin C. Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Azeez Rahim, Penyelaras Parlimen Baling, ADUN Kawasan Belantek, ADUN Kawasan Bayu, Hj. Ahmad Ayob Ibrahim, Pengurus Besar, Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama para tetamu dan dif jemputan yang lain serta orang ramai hampir 1500 orang.

Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi semangat, kelegaan dan sedikit keceriaan kepada mereka yang terlibat, juga ingin menunjukkan keperihatinan dan rasa tanggungjawab bersama dalam menangani musibah tersebut. Difahamkan, banjir lumpur pada awal pagi 14 Ogos 2010 yang lalu telah meranapkan hampir 243 keluarga di Sik, manakala melibatkan anggaran 600 keluarga di Baling.
Selain kehilangan harta benda, hasil tanaman dan ternakan mangsa juga turut musnah. Ini terutama mereka yang tinggal di sekitar dengan Sungai Cheper dan Sungai Ketil di kawasan pendalaman Sik dan Baling.

Sumbangan ini juga dibuat bersempena dengan hari lebaran yang semakin hampir menjelang tiba. Justeru dengan adanya sedikit wang saku tersebut, agar dapat meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang terlibat. Sumbangan yang dikeluarkan oleh Yayasan Taqwa (MAIWP) ini datangnya daripada sumber wang zakat Baitulmal MAIWP (yang dipungut oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Ini juga sebahagian daripada jelajah pihak Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam melaksanakan programnya, selain itu ia adalah sebahagian usaha, fungsi dan tanggungjawab Yayasan Taqwa (MAIWP) sebagai institusi yang menjalankan program/aktiviti yang dapat memberi manfaat maksimum kepada semua termasuk mereka yang dilanda musibah yang memerlukan bantuan kecemasan terutama di luar Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, program ini telah dibuat secara berasingan di Daerah Sik dan Baling bagi memudahkan semua yang terlibat menerima sumbangan berkenaan. Semoga usaha murni sebegini menyemarakkan lagi semangat pembayar zakat dan jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan akan bertambah dari semasa ke semasa.