LEDANG – 5 Ogos. Seramai 213 orang murid-murid yang kurang berkemampuan dari sekolah-sekolah rendah agama terpilih di sekitar Ledang telah menerima sumbangan berupa wang saku tunai RM100.00, RM100.00 belanja untuk yuran persekolahan agama yang mana didepositkan terus ke akaun Tabung Haji dan set kelengkapan asas sekolah agama dengan nilai RM245.80 setiap seorang. Jumlah keseluruhan yang diterima oleh setiap pelajar adalah bersamaan RM445.80 dengan jumlah besar melibatkan peruntukan RM94,955.40.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Y. Bhg. Puan Noor Hasma Bt. Haron, Pengurus Kewangan Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama Y. Bhg. Ustaz Abdul Wahid Bin Abdullah, Pegawai Pendidikan Agama Daerah. Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi galakan dan dorongan serta membantu anak-anak yang kurang berkemampuan agar mendapat pendidikan agama yang sempurna dan lebih baik dari semasa ke semasa.
Sumbangan yang dikeluarkan oleh Yayasan Taqwa (MAIWP) ini datangnya daripada sumber wang zakat Baitulmal MAIWP (yang dipungut oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Ini juga sebahagian daripada jelajah pihak Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam melaksanakan programnya, selain itu ia adalah sebahagian usaha, fungsi dan tanggungjawab Yayasan Taqwa (MAIWP) sebagai institusi yang menjalankan program/aktiviti yang dapat memberi manfaat maksimum kepada semua termasuk golongan asnaf yang memerlukan terutama di luar Wilayah Persekutuan.
Semoga usaha murni sebegini menyemarakkan lagi semangat pembayar zakat dan jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan akan bertambah dari semasa ke semasa.