23 Ogos. Seramai 301 orang murid-murid yang kurang berkemampuan dari sekolah-sekolah rendah terpilih di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Dungun telah menerima sumbangan berupa wang saku tunai RM100.00, RM100.00 belanja untuk yuran persekolahan agama yang mana didepositkan terus ke akaun Tabung Haji dan set kelengkapan asas sekolah agama dengan nilai RM245.80 setiap seorang. Jumlah keseluruhan yang diterima oleh setiap pelajar adalah bersamaan RM445.80 dengan jumlah besar melibatkan peruntukan RM134,185.80. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Y Bhg. Tuan Haji Anan Bin C Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama Y.M. Dato’ Shaikh Harun Bin Shaikh Ismail, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi galakan dan dorongan serta membantu anak-anak yang kurang berkemampuan agar mendapat pendidikan agama yang sempurna dan lebih baik dari semasa ke semasa.
Turut menerima sumbangan pada majlis ini adalah warga emas serta mereka yang kurang upaya (OKU) seramai 127 orang yang terpilih di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Dungun bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Sumbangan yang keseluruhannya bernilai RM19,050.00 adalah berbentuk wang tunai dan hamper. Sumbangan keseluruhan sebanyak RM153,235.80 yang dikeluarkan oleh Yayasan Taqwa (MAIWP) ini datangnya daripada sumber wang zakat Baitulmal MAIWP (yang dipungut oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Ini juga sebahagian daripada jelajah pihak Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam melaksanakan programnya, selain itu ia adalah sebahagian usaha, fungsi dan tanggungjawab Yayasan Taqwa (MAIWP) sebagai institusi yang menjalankan program/aktiviti yang dapat memberi manfaat maksimum kepada semua termasuk golongan asnaf yang memerlukan terutama di luar Wilayah Persekutuan. Semoga usaha murni sebegini menyemarakkan lagi semangat pembayar zakat dan jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan akan bertambah dari semasa ke semasa.